Friday 14 November 2014

Tauke besar kawal beberapa kontraktor untuk dapat projek luar bandar

Abdullah Saidol
'Kontraktor-kontraktor seperti ini juga saya anggap sebagai penyangak yang merompak warga desa sebuah keselesaan '


 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol mendakwa terdapat satu 'Tauke Besar' kontraktor yang mengawal beberapa kontraktor untuk mendapatkan tender bagi projek-projek luar bandar.

"Memang benar projek-projek ini ditender secara terbuka. Kalau ada 10 kontraktor tempatan yang membida, sebenarnya semua lesen ini, 10 kontraktor yang membida ini dikawal seorang Tauke.

"Walaupun sepuluh kontraktor yang membida, asyik-asyik orang itu yang dapat dan orang itulah yang mempunyai sejarah sejak sekian lama, track record yang buruk.

"Kontraktor-kontraktor seperti ini juga saya anggap sebagai penyangak yang merompak warga desa sebuah keselesaan yang sepatutnya dinikmati hasil dari projek kecil ini," katanya ketika membahas  Belanjawan Negeri 2015 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, semalam.

Dalam pada itu, Abdullah juga  mengumpamakan kontraktor-kontraktor yang gagal menyempurna projek yang diamanahkan kepada mereka sebagai 'pengkhianat' masyarakat.

"Kontraktor-kontraktor yang gagal melaksanakan Projek Bekalan Air dan Elektrik di luar bandar adalah pengkhianat kepada usaha murni kerajaan untuk memakmurkan kawasan desa.

"Hasil kerja kontraktor-kontraktor yang mengendalikan projek di luar bandar harus dipantau dengan teliti," tegasnya.

Justreru itu, Abdullah meminta agar kerajaan memantau dengan teliti dan lebih berkesan projek-projek kecil luar bandar kerana banyak yang tidak mengikut spesifikasi dan kadang-kadang dilaksanakan dengan kualiti kerja mengecewakan.

"Mungkin kerana kontraktor-kontraktor yang dilantik sebenarnya kontraktor Ali Baba. Lesen-lesen mereka dilacurkan," tegasnya.

Sekiranya benar dakwaan itu, tindakan tegas perlu diambil ke atas tauke dan kontraktor-kontraktor Ali Baba yang hanya memewahkan diri sendiri denganv'merompak'  manfaat dan kemudahan yang seharusnya dimiliki oleh anggota masyarakat terutama di luar bandar-Bahaduri



No comments:

Post a Comment